Mar 25, 2015

Kisah Penjual Bunga dan isterinya yang sungguh meruntun hati

Catatan dari seorang sahabat,Pn Nurhaslaily.Saya rasa sungguh meruntun perasaan..Bahagianya memiliki suami yang sangat mementingkan dan menjaga amanah,si isteri sebaik-baiknya.





Petang semalam adik ipar telefon untuk buat sambutan hari jadi mak lebih awal. ‘Surprise’ untuk mak !
Masa suntuk lepas kerja, jadi kami terlintas mahu beli bunga, dari abah untuk mak.
Kami singgah di sebuah kedai bunga di PKNS. Waktu kami tiba, kedai tersebut tertutup rapat dan ada label, 'KELUAR HANTAR TEMPAHAN'. Bila encik suami soleh toleh ke belakang, rupanya pakcik kedai tersebut baru kembali. Terus dibuka kedai dengan senyumannya dan sapaan mesra seperti selalu.
"Ye bang, bunga dah tak berapa ada. Dah petang. Ni je yang ada." Kami melihat pilihan yang ada, memang terhad.
"Nak beli untuk apa?" Pakcik bunga terus bertanya. Belum sempat kami jawab dia dengan gembiranya tunjukkan satu kertas pada saya.
"Hari ni anniversary pakcik ke 40. Pakcik tak ada apa nak bagi pada makcik. Pakcik bagi ni je". Saya terpaku melihat slip simpanan wang Tabung Haji berjumlah RM30,000 yang sudah rapi di laminate. Ini benar-benar ‘surprise’ Allah pada kami.
Tanpa lengah, yang ada dalam fikiran hanya pegang smartphone. Terus minta izin untuk ambil gambar slip tersebut sambil pakcik tergelak-gelak melihat gelagat saya.
"Ada orang datang kedai nak cari hadiah 15 tahun anniversary. Tapi tak tahu dah nak bagi apa pada isteri. Kadang-kadang pilih yang paling biasa-biasa sekali. Pakcik bukan nak paksa-paksa beli tapi sebab dia tak rasa yang ini....."
Sambil menunjukkan buku-buku di sudut depan kedai atas meja kecil. Di situ ada 6 rekod kesihatan yang telah dibukukan. Ditunjuknya satu per satu rekod kesihatan isterinya. Kanser tangan, kanser perut, batu dan besi dalam gall bladder dan mcm² lagi. Ini kejutan kedua untuk saya yang melihat.
Saya melihat satu demi satu rekodnya. Terdiam. Sepanjang hayat saya ini pertama kali saya lihat seorang lelaki menyimpan rekod kesihatan isteri dengan cukup tersusun, kemas dan sangat lengkap. Gambar-gambar disusun elok, keputusan pemeriksaan, resit pembayaran, perincian setiap satu beserta tarikh dan masa dengan catitan kemas. Bahkan dilaminate elok setiap laporan itu. Tambah lagi disimpan di tempat kerja pula.
“Macam mana pakcik tak sayang makcik. Kedai ni pun kedai dia. Pakcik tolong jaga saja!” sambil menudiang jari telunjuknya kepada sijil perniagaan yang ditampal di dinding kedai dengan nama isteri beliau.
“Dia jaga pakcik, dia uruskan pakcik. Setiap masa pakcik doa, YA ALLAH PANJANGKANLAH UMUR DIA, AKU SAYANGG DIA”. Dada saya sudah sebak.
“Ini gambar pakcik dengan makcik. Celebrate berdua di rumah masa berhenti kerja nak jaga kedai ni”. Mata saya terus menangkap gambar yang ditampal di dinding kedai. Sederhana tapi bermakna.
Diambilnya pula album gambar, ditunjuk dan dibelek satu persatu gambar rumahnya. “Makcik suka bunga, tauke bunga kan. Tapi pakcik tahu dia suka, pakcik bagi selalu beri bunga hiasan di rumah. Beri apa dia suka. Dia suka duduk di dapur, bagi dia hias cantik-cantik dapur, dia nak duduk situ. Tapi kita suami kena la support, bagi dia duit untuk dia hias elok-elok.”
Saya dan encik suami soleh pandang satu sama lain. Tak terkata. “Rumah kami kecil je, rumah teres biasa je. Tapi makcik baik tak minta macam-macam, bukan setiap tahun tukar perabot. Dia cakap, ikut abang la”. Jauh disudut hati saya merasakan betapa pakcik ini sangat menghargai isterinya. Melihat gambar rumah beliau, menyakini perkata yang dituturkan.
Ada macam-macam gambar pakcik dan makcik yg disimpan dalam kedai. Sesuatu yg sukar dilihat pada lelaki kebiasaan. Bahagia bercerita tentang kebaikan isteri pada orang yang tidak dikenali dan menyimpan pelbagai kenangan bersama isteri dengan sgt baik.
“Ha nak bunga yang mana bang? Banyak pakcik merepek macam-macam. Dan umur macam ni, rasanya ni la penamatnya pakcik dapat bagi ni pada makcik. Setiap kali ada duit pakcik masuk tabung haji dia, dia tak tahu pun”. Hati rasa berkaca-kaca.
En suami soleh bersuara “40 tahun. Kami baru 7 tahun”. Pakcik terus jawab, “ Alhamdulillah, agaknya pakcik tak sempat nak wish abang sampai anniversary ke 40. Umur pakcik dah 60 lebih. Dah masuk kubur kut masa tu”. Aduhai hati, bertabahlah.

“Bang, nak bagi sapa bunga ni”

Kami jelaskan, mencari bunga untuk hari jadi mak. Pakcik jawab, “Saya kalau dengar orang nak bagi bunga pada mak… Allah...”
En suami buat pilihan dan pakcik kemaskan gubahan tersebut. “1,2,3,4,5,6,7. 7 kuntum ros! Maksudnya I MISSED YOU SO MUCH !” ulas pakcik pada saya sambil tergelak-gelak.

“Maaflah layan pakcik cerita macam-macam. Hari ni hari special. Tak ada orang nak cerita, cerita pada customer je la. Abang ni pula baik, layan je pakcik”.

Mata saya sudah berkaca-kaca. Sebelum empangan pecah, saya keluar dari pintu kedai. En suami dan pakcik bersalaman dan berpelukan. Kedua-duanya mata merah berair. Jelas diraut mukanya sedang gembira untuk berjumpa makcik. Persiapan dan makanan telah siap ditempah untuk sambutan malamnya. Anak cucu juga akan berkumpul. Semua dirancang tanpa pengetahuan makcik.
Sebelum kami beredar, pakcik panggil saya masuk. “Sempena anniversary pakcik, pakcik mintak izin pada cik abe ni, pakcik bagi bunga ni sebagai hadiah”.

Saya hanya mampu ucap terima kasih dengan air mata yang mencurah-curah. T_T
Pakcik bunga ini gayanya seperti seorang rockers. Rambutnya panjang, pakaiannya juga brutal. Tapi pertemuan kali ini benar-benar menjentik jiwa muda kami. Ceritanya ikhlas, sampai ke hati. Kita sering lupa menghargai orang yang paling kita sayang. Ikhtibarnya berbeza-beza pada siapa yang berfikir.

Bila ke kedai bunga, mata kita terus tertangkap dengan harga paling murah. Tapi pakcik ini mengajar satu pelajaran. Berilah yang sehabis baik, seikhlas mungkin untuk orang yang paling kita sayang pada setiap masa yang Allah beri peluang!

Ya, betul ! Bila 7 kuntum ros itu sampai ke tangan mak. Berjuraian air mata mak. “Terima kasih! Pertama kali dapat bunga sepanjang hidup”, itu kata-kata yang keluar dari mulut mak.
Dan saya benar-benar rasa sebak dan terpukul !

No comments:

Post a Comment