Anak muda hebat yang berjuang di Bumi Syria. Jom sama-sama baca kisah menarik ini
===================================================================
Ramai yang bertanya apa yang ibu bapa kami lakukan sehingga kami boleh lakukan kerja gila seperti hari ini.
Abang aku menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang berada di Gaza. Palestin. Beliau membuka NGO bernama From Gaza With Love untuk membantu rakyat di sana. Bayangkan, Palestin yang negaranya begitu dan abang aku tinggal seorang diri di sana.
Dan untuk yang terkini, beliau membuat satu lagi keputusan yang lebih gila apabila mengahwini seorang janda Palestin beranak lima ketika lelaki seusianya mengimpikan anak dara cantik jelita.
Aku membuka sebuah NGO bernama Tangisan Syria Di Bumi Jordan untuk membantu pelarian Syria yang berhijrah ke Jordan. Dan untuk yang terkini kami sudah mempunyai sebuah sekolah yang menempatkan hampir 120 orang kanak-kanak pelarian.
Kami menjaga 7-8 buah kem yang menempatkan hampir 300 buah keluarga. Dan kami sudah mengagihkan mungkin lebih sejuta ringgit sumbangan orang ramai sejak ditubuhkan pada 2013.
Tidak. Ini bukan post untuk berbangga diri. Post ini hanya sekadar untuk berkongsi. Terutama kepada ibu yang sedang membesarkan anak atau remaja yang bakal berumah tangga.
Ada yang bertanya kalau-kalau Abi (panggilan kami kepada ayah) atau Che (panggilan kami kepada ibu) ada memberi kami 8 beradik sebarang vitamin semasa kami kecil.
Seingat aku, Che dan Abi tidak pernah memberi sebarang vitamin. Masa bayi atau sebelum tadika, aku tidak pasti.
Tetapi ada beberapa perkara yang Che dan Abi gariskan semasa kami kecil sehingga kami menjadi seperti yang hari ini.
1. Solat adalah perkara yang paling dititikberatkan. Abi pernah sekali memotong wayar tv apabila kami lewat solat maghrib kerana menonton kartun Doraemon. Ya, Abi juga yang membaikinya, tetapi kami tidak lagi menonton tv pada waktu maghrib sejak peristiwa itu.
Che tidak pernah bosan bertanyakan kami tentang solat sebanyak lima kali sehari.
2. Waktu menonton televisyen adalah terhad. Tv hanya boleh ditonton apabila sudah solat dan kerja sekolah sudah disiapkan. Biasanya kami boleh menonton tv selama sejam atau sejam setengah sehari.
Astro dipasang di rumah kami agak lewat. Apapun, kami lebih enjoy menonton beramai-ramai cerita P. Ramlee misalnya.
Oh ya. Tv diletakkan di dalam bilik Che dan Abi. Jadi yang tidak selesai kerjanya tidak boleh masuk semasa orang lain menonton. Tidak ada juga yang berpeluang curi-curi menonton tv pada waktu tengah malam.
3. Begitu juga komputer. Kami dibenarkan bermain komputer apabila semua kerja sudah beres. Satu kertas jadual masa untuk kami bermain komputer akan dibuat.
Setiap orang yang ingin bermula bermain komputer perlu menulis jam berapa dia mula, dan apabila selesai sejam, kertas akan ditanda menandakan masa untuk hari itu sudah habis.
4. Kami tidak pernah merasa membeli komik seperti Kreko, Doraemon atau apa sahaja. Kalau Abi terjumpa komik tersebut di mana-mana, ianya akan dibuang serta-merta.
Ps 1? Ps 2? Ps 3? Psp. Hanya berjumpa di dalam mimpi. Sedangkan tv pun kadang-kadang perlu dipegang aerialnya untuk mendapat siaran yang elok ketika Astro masih belum dipasang.
Che dan Abi juga cukup tidak suka kalau kami ke rumah kawan untuk bermain permainan di atas.
5. Kami tidak diberi telefon bimbit sehinggalah masuk ke sekolah menengah. Itupun telefon turun temurun daripada generasi sebelah atas.
Telefon yang diberi biasanya kerana kami tinggal di asrama. Untuk mudah kami menghubungi Che dan Abi di rumah.
Bukan telefon mahal. Tetapi yang tidak ada warna, jauh sekali boleh main internet.
Oh ya. Salah seorang daripada kami tidak pernah mati kerana tidak mempunya telefon bimbit.
6. Hubungan sesama adik beradik sangat dijaga. Yang bergaduh akan cepat disuruh berpeluk dan bermaafan.
Biasanya kami akan tergelak apabila disuruh memeluk begitu. Acah-acah gelilah katakan.
Panggilan abang atau kakak kepada adik beradik yang lebih tua adalah wajib. Kalau hanya panggil nama, anda tidak akan dilayan.
Malah dari dulu sehingga sekarang, kami 8 beradik tidak pernah menggunakan kata ganti nama 'aku, kau' sesama kami.
7. Kami bebas bermain di luar bermula selepas waktu asar. Dan kami wajib berada di rumah sebelum jam 7.00 malam. Cubalah balik pada jam 7.01 malam. Biasanya Che atau Abi akan menunggu di depan pintu dengan rotan.
Atau lebih teruk. Kami akan duduk di luar sampailah dibenarkan masuk. Biasanya selepas isyak. Oh ya, esoknya kami akan grounded.
Grounded atau denda tidak boleh keluar rumah sehingga dimaklumkan adalah perkataan paling ngeri yang keluar dari mulut Che suatu tika dahulu. Sesiapa yang grounded hanya mampu melihat adik beradik yang lain keluar bermain dari celahan pagar.
Takut akan grounded juga menyebabkan kami banyak berhati-hati untuk tidak membuat silap di dalam kehidupan seharian.
8. Sebelum keluar rumah, kami wajib minta izin terlebih dahulu. Tidak kira untuk ke mana-mana sahaja.
Kami akan ditanya ke mana kami pergi. Dengan siapa kami pergi, apa yang akan dilakukan di sana dan bila akan balik.
Jadi Che dan Abi tahu dengan siapa kami berkawan.
Terbiasa meminta izin sebelum keluar ini kekal sehingga sekarang.
9. Sesiapa sahaja wajib ikut apabila Che dan Abi pulang ke kampung atau ke rumah saudara mara yang lain. Wajib.
Tidak kira sama ada balik raya, atau sekadar open house. Hasilnya, kami adik beradik mengenali dengan baik hampir kesemua waris, baik di sebelah Abi atau sebelah Che.
Nak duduk di rumah juga? Silakan. Tetapi kad astro akan dibawa atau disorok.
10. Kami diajar untuk memberi sejak dari kecil. Abi tidak pernah lupa memberi aku seringgit dua pada setiap hari jumaat untuk dimasukkan ke dalam tabung.
Che dan Abi tidak pernah gagal untuk memberi kami syiling di pasar malam untuk diberi kepada peminta sedekah.
Malah kucing yang datang ke meja makan kami sekeluarga biasanya akan mendapat rezeki.
Kucing hanya akan dihalau jika kedua kakinya sudah naik ke atas kerusi kakak sulung yang takut akan makhluk tersebut.
11. Kami diajar untuk menghormati sesiapa sahaja. Kami diajar untuk berterima kasih kepada pakcik-pakcik yang bekerja mengutip sampah. Menutup hidung apabila nampak mereka adalah sangat tidak sopan.
Penjual karpet atau makcik jual keropok tidak pernah dihalau. Malah sesiapa sahaja yang datang mengetuk pintu rumah biasanya akan disediakan air selepas seharian mereka berpanas mencari rezeki. Tidak kira sama ada yang datang adalah pemotong rumput atau kanak-kanak yang bekerja meletakkan kertas iklan di rumah-rumah.
Cuma sekarang perlu lebih berhati-hati akibat manusia semakin ramai yang berpura-pura.
12. Abi dan Che sangat menjaga hati jiran. Ada sahaja lauk yang dibungkus oleh Che dan kami akan bergilir mengetuk pintu memberi kepada jiran-jiran.
Biasanya juga, akan ada orang yang datang ke rumah kami mengadu masalah. Kami akan curi-curi dengar dari sebelah dalam. Che dan Abi akan cuba juga untuk membantu semampu mungkin.
13. Abi tidak mengajar kami hidup mewah walaupun Abi boleh dikatakan bergaji besar. Abi boleh sahaja memilih untuk bertukar-tukar kereta mewah, atau membeli rumah idaman beliau. Tetapi Abi lebih suka menggunakan Satria atau Mercedes lamanya untuk membawa kami berjalan-jalan. Dan kadangkala kami sepuluh beranak bergerak menaiki dua kereta kerana tidak muat.
Masa Abi juga banyak dihabiskan dengan anak-anak walaupun Abi sibuk. Jarang atau rasanya tidak pernah Abi keluar melepak di kedai mamak sehingga lewat malam. Selepas solat biasanya kami sekeluarga akan bersembang. Juga semasa makan. Bahkan jika keluar makan di luar juga, kami banyak berkomunikasi.
Aku tahu, ini mungkin hanya 10% peratus daripada keseluruhan yang Che dan Abi terapkan kepada kami. Tetapi ini adalah antara yang aku ingat. Dan aku akan cuba untuk terus berkongsi, insya Allah.
Aku tidak tahu sama ada ianya masih relevan untuk generasi hari ini, tetapi apa yang pasti, inilah didikan yang menjadikan kami 8 beradik menjadi manusia berisi.
Didikan luar biasa akan menghasilkan generasi yang luar biasa. Dan begitulah juga sebaliknya.
16 Ogos 2016.
FB Musa Nuwayri
Penulis Buku Lelaki Terakhir Menangis di Bumi
No comments:
Post a Comment