Jun 4, 2016

Rawatan yang di bolehkan ketika berpuasa


*REVISION RAMADHAN*

[FIKAH PERUBATAN]

Rawatan-rawatan yang tidak membatalkan puasa:

1) Ubat titis mata dan titis telinga.

2) Tablet nitroglycerin dan yang seumpama dengannya yang diletakkan di bawah lidah (sublingual). Biasanya digunakan untuk merawat sakit jantung.

3) Semua bentuk rawatan yang melibatkan kemasukan benda atau ubat ke dalam faraj seperti vaginal suppository, pencucian (doush), vaginascope atau tangan doktor yang memeriksa pesakit (digital examination).

4) Semua bentuk tiub atau bahan yang dimasukkan ke dalam badan melalui saluran kencing seperti
urethroscope, barium, pencuci urethra.

5) Menampal gigi, mencuci gigi atau menggosok gigi dengan siwak atau berus gigi selagi mana tidak masuk ke dalam halkum (ditelan).

6) Semua jenis suntikan kecuali Parenteral Nutrition (Fluid therapy).

7) Pendermaan darah atau menerima darah.

8) Bantuan oksigen atau gas pelali (anesthetic gases).

9) Semua jenis krim atau minyak yang disapu pada kulit walaupun dibekalkan dengan bahan kimia yang terserap ke dalam kulit.

10) Mengambil darah untuk ujian makmal.

11) Semua jenis salur yang dimasukkan ke dalam saluran darah bagi tujuan x-ray pada jantung atau mana-mana bahagian pada anggota badan (catheterization).

12) Laparoskopi yang dimasukkan ke dalam abdomen untuk tujuan pembedahan.

13) Semua jenis ubat kumur, seperti mouth-rinsing gargle dan penyembur mulut selagi mana tidak masuk ke dalam halkum.

14) Uteroscope atau IUCD (pencegah kehamilan) yang dimasukkan ke dalam rahim.

15) Sampel organ yang diambil daripada badan seperti hati atau daripada mana-mana anggota badan (biopsy).

*Majoriti yang terlibat (pakar perubatan & Syariah) dalam persidangan tersebut memutuskan bahawa pesakit tidak batal puasa dengan rawatan berikut:*

1) Ubat titis ke dalam hidung (nasal drops) atau ubat asthma (inhaler).

2) Semua jenis ubat yang dimasukkan melalui anus (dubur). (Walaupun sebahagian ulama’ mazhab menghukumkan batal puasa, tetapi sebahagian yang lain tidak menghukumkan batal. –Untuk keluar dari khilaf elok jika rawatan dilakukan pada waktu malam selepas berbuka puasa- penulis).

3) Pembedahan yang menggunakan pelali seluruh badan (general anesthesia) yang dijalankan pada siang hari setelah pesakit mula berpuasa sejak malam sebelum pembedahan.

4) Suntikan untuk merawat sakit buah pinggang melalui artificial kidney (dialysis) sama ada peritoneal atau hemodialysis.

5) Memasukkan gastroskop ke dalam perut dengan syarat tiada sebarang cecair atau apa-apa bahan rawatan disalurkan.

*Rujukan :*
*Persidangan IOMS ke-10 pada 1997 di Morocco bertajuk: “An Islamic View of Certain Contemporary Medical Problems” (Pandangan Islam terhadap Beberapa Masalah Kesihatan Kontemporari)*

*'Ilmuwan Berbakti, Teguh Sehati" "at-Taqwa, as-Syifa',ar-Rahmah"*

"Muslim Sejati,Generasi Rabbani"

*Unit Fikah Perubatan,*
*Jabatan Pembangunan Insan,*
*PERUBATAN 2016/2017.*

=====================
*Sedikit Pandangan saya*
=====================
Saya bersetuju dengan senarai perkara yang tidak membatalkan puasa berdasarkan kemudahan kepada para umat Islam untuk menjalankan rukun Islam tersebut. Tetapi perlu dilihat kepada beberapa keadaan:
1. Sakit itu sendiri sudah mengharuskan seseorang pesakit itu tidak boleh berpuasa. Sebagai contohnya pesakit yang diserang oleh serangan jantung. Pesakit akan diwajibkan mengambil ubat bawah lidah dan seumpamanya dan mungkin akan diberi bantuan gas oksigen bagi menyelamatkan nyawa beliau. Keadaan sebegini sudah tidak menjadi satu kewajipan untuk beliau berpuasa. Ini dinyatakan dalam Al Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.  أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

_"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (Iaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka Barangsiapa diantara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, Maka itulah yang lebih baik baginya, dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui"._ (QS Al Baqorah 183-184)

Boleh lihat ulasan berkaitan kategori sakit yang mengharuskan berbuka [http://suhazeli.com/wp/?p=1269]

2. Saya juga meraikan pandangan ulama setempat yang mengikut waqi mazhab yang digunapakai oleh mereka di sesatu firqah/negara. Terdapat perselisihan pendapat antara ulama fekah berkaitan penggunaan alat perubatan semasa puasa Ramadhan. Contoh yang biasanya menjadi perselisihan adalah penggunaan ubat sedut (Inhaler) bagi pesakit Asthma. Ulama Syafiiyyah lebih mengambil langkah berhati-hati dengan menghukumkan penggunaan Inhaler boleh membatalkan puasa ramadhan. Manakala ulama Hanafiah, Hanabilah dan Malikiyyah lebih longgar dalam menafsirkan definisi perkara-perkara yang membatalkan puasa Ramadhan. Di mana mereka menghukumkan penggunaan *inhaler bagi pesakit asthma adalah tidak membatalkan puasa*. Justeru tidak perlu diperdebatkan lanjut jika terdapat pesakit yang mengambil pandangan yang lebih memudahkan perjalanan ibadah mereka samada batal ataupun tidak.

Wallahua'lam

*Rijal Al Brangi*
Kuala Kangsar
4 Jun 2016


No comments:

Post a Comment