May 31, 2013

Khasiat Badam Dan Kismis

Biasanya kebanyakan kita suka memberikan snek makanan ringan untuk kanak-kanak, seperti keropok,ais krim, gula-gula, lolipop, kerepek ubi kentang dan coklat.
Tahukah anda terdapat pelbagai kesan sampingan yang negatif terkandung dalam makanan ringan tersebut terutama penggunaan monosodium glutamate (MSG), gula dan pengawet yang tinggi.
Apa kata mulai hari ini, anda cuba ubah pemberian snek makanan kepada anak-anak iaitu menggantikannya dengan bahan makanan yang lebih berkhasiat seperti kismis dan badam.

Kismis
Kismis adalah salah satu alternatif bahan makanan yang wajar dijadikan snek makanan kepada anak-anak.  Kismis bukan hanya terhad sebagai bahan makanan yang dimakan sewaktu menjelang peperiksaan, majlis keramaian tertentu atau dimasukkan ke dalam roti atau kek.
Sebanyak 60% berat kismis terdiri daripada gula, di mana separuh daripadanya adalah fruktosa dan separuh lagi adalah glukosa. Kismis sangat tinggi kandungan antioksidannya berbanding buah prun dan aprikot.
Kismis telah lama digunakan sebagai sumber diet bagi mendapatkan asid lemak perlu dan tokoferol sebagai antioksidan.
Antara lain-lain khasiat kismis adalah :

1. Menguatkan daya ingatan
2. Mengubati penyakit lupa
3. Mencerdaskan minda
4. Memutuskan balgham
5. Membersihkan hati
6. Mencerahkan mata

Badam
Badam penting untuk kesihatan kerana khasiatnya yang pelbagai, ia boleh dimakan mentah, dikukus seperti kekacang atau dijadikan bahan campuran makanan seperti kuih dan sebagainya.
Badam mengandungi 20 kali lebih banyak protein jika dibandingkan dengan bijirin lain. Kandungan lemak dan karbohidratnya tinggi, oleh itu ia mengandungi gula yang tinggi berbanding dengan buah-buahan yang lain.
Kandungan vitamin B dalam badam mengatasi kandungan vitamin itu dalam telur, begitu juga niasin yang dimilikinya melebihi gandum. Kandungan kalsium juga mengatasi kandungan elemen itu dalam susu dan kandungan fosforusnya melebihi kandungan fosforus dalam keju.
Kanak-kanak amat sesuai memakan badam kerana khasiatnya dapat membantu pembesaran minda mereka, selain membina tulang dan gigi. Sementara kepada orang dewasa pula ia dapat membantu menyihatkan jantung mereka.

Badam untuk Wanita Hamil
Kandungan folate yang tinggi di dalam badam amat berguna sekali bagi wanita yang sedang hamil. Folate adalah bahan penting bagi mengelakkan berlaku kecacatan kepada bayi ketika hamil.

Sumber : PaMa

No comments:

Post a Comment