Pages - Menu

Jul 16, 2015

9 Amalan Sunnah dan Adab di Hari Raya Aidilfitri

Assalamualaikum..

Ramadhan bakal berlalu pergi dan 1 syawal akan menjelma tiba. Antara amalan-amalan sunnah yang pernah di lakukan oleh Nabi kita dan para sahabat di hari raya Aildilfitri agar sambutannya terus menjadi ibadat dan mendapat pahala di sisiNya




1. Mandi sunat pagi hari raya
Disunatkan mandi di pagi hari raya dengan berniat mandi sunat Hari Raya sebelum bertolak ke tempat solat aildilfitri.
2. Makan sebelum solat Aidilfitri
Disunatkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.  Kebiasaannya Rasullullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada hari raya Aidilfitri. Boleh menjamah apa jua juadah sedikit sebagai mengalas perut.
3. Memakai pakaian yang indah
Disunatkan memilih pakaian yang terbaik serta indah-indah mengikut kemampuan masing-masing untuk menuju tempat solat. Disunatkan juga kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunatkan kepada kaum wanita.

4. Bertakbir
Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya anak bulan dan berakhir setelah selesainya imam membaca khutbah. Disunatkan juga  untuk kita bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah menuju ke masjid utk menunaikan solat aidilfitri.
5. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya
Berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan. Disunatkan juga mengikut jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Ada pendapat menyatakan ia dilakukan agar dapat bersalam dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Selain itu, orang yang berjalan ke masjid, salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjat.
6. Mengerjakan solat aidilfitri
Syiar yang paling utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlaksanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat islam.
7. Lafaz ucapan selamat 
Di ceritakan al-hafiz Ibn Hajar al-Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair Nufair r.a katanya :- ” Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain “taqabbalullah minna waminka”(semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu [waminka di atas boleh ditukar kepada waminkum untuk diucapkan kepada orang ramai] ).”

8. Bergembira pada Hari Raya Aidilfitri
Setelah sebulan umat islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah s.w.t, makan tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Hidupkan amalan kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi sanak saudara dan melayan tetamu yang hadir sebaik-baiknya.
9. Puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal
Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadahan lalu diiringi dengan puasa 6 hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.
Cara paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya secara berturut-turut (bermula pada 2 syawal. Namun seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan syawal samada secara berturut-turut atau berpisah-pisah.

Semoga Allah menerima segala amalan kita dan semoga kita dapat raikan syawal dengan kemenangan dan kembali kepada fitrah. Elakkan pembaziran dan makan secara bersederhana.
Selamat Hari Raya Aidilfitri,Maaf Zahir dan Batin.

No comments:

Post a Comment