Pages - Menu

Oct 14, 2015

Selamat Tahun Baru Hijrah 1437H

Assalamualaikum..Selamat Menyambut Tahrun Baru Hijrah buat semua.

Jom berubah ke arah lebih baik.Buat banyak kebaikan dan target untuk lebih dekat kepadaNya.

Semoga tahun baru ini lebih berjaya,di murahkan rezeki dan cemerlang dunia dan akhirat.




Sedikit perkongsian kesimpulan daripada tajuk "Kisah Hijrah Rasulullah SAW" yang dikupas oleh Ustaz Syaari Ab Rahman dalam segmen Ibrah di radio IKIM pada 12 Oktober 2015.

1. Apabila kita ingin berhijrah, kita perlukan sahabat yang baik. 'Circle of friends' kita perlulah di kalangan sahabat-sahabat yang sentiasa memotivasikan kita untuk mengerjakan kebaikan. Rasulullah saw memilih Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. sebagai peneman baginda ketika berhijrah. Kebaikan Abu Bakar ini boleh dilihat contohnya ketika berada di dalam gua Thur. Abu Bakar sanggup menutupi lubang-lubang yang mengandungi haiwan berbisa demi untuk melindungi Rasulullah saw daripada dicederakan.

2. Perancangan dan perlaksanaan yang baik dan berstrategi. Rasulullah saw telah membuat pelan yang cantik untuk mengelak daripada dijejaki oleh kaum musyrikin. Rasulullah telah memilih orang-orang yang perlu terlibat dalam hijrah tersebut. Rasulullah juga telah meletakkan Saidina Ali di tempat tidur baginda ketika ketua-ketua kabilah musyrikin membuat perancangan membunuh baginda. Rasulullah telah menggunakan laluan yang mengelirukan iaitu menggunakan laluan selatan untuk ke Yathrib (Madinah) yang terletak di bahagian utara Mekah. Rasulullah telah memilih Gua Thur sebagai tempat persembunyian.

3. Rasulullah telah menunjukkan contoh dengan melibatkan pihak yang pelbagai latar belakang dan kepakaran untuk tujuan berbeza. Rasulullah telah mengiktiraf kepelbagaian ini melalui:
a) Saidina Ali bin Abu Talib - seorang remaja. Telah diamanahkan oleh baginda untuk menggantikan tempat baginda di tempat tidur. Iman Saidina Ali yg utuh menjadikan beliau seorang remaja yang berani mengambil risiko walaupun terpaksa berhadapan dengan ketua-ketua kabilah kaum musyrikin yang terkenal dengan kebengisan.

b) Abdullah bin Uraiqith - seorang musyrik yang mahir sebagai penunjuk jalan di padang pasir. Walaupun beliau tidak beriman kepada Allah, tetapi Rasulullah meyakini bahawa beliau akan bekerjasama dan tidak sesekali akan belot atau menghalang hijrah baginda saw. Ini adalah satu fakta penting bahawa kita boleh bekerjasama dengan orang bukan Islam, selagi mana mereka tidak menghalang kita daripada mengamalkan ajaran Islam yang sebenar dan menghalang usaha dakwah kita.

c) Abdullah bin Abu Bakar - Anak kepada Saidina Abu Bakar yang telah ditugaskan untuk membawa khabar berita dari Mekah setiap malam. Maklumat ini penting bagi strategi penghijrahan baginda. Baginda perlu tahu gerak-geri kaum Quraisy di Mekah. Abdullah akan ke gua Thur pada sebelah malam dan pulang semula ke Mekah sebelum subuh untuk mengelak daripada dijejaki kaum musyrikin. Perkara ini diulang selama 3 hari baginda dan Abu Bakar berada di Gua Thur.

d) Asma' Abu Bakar - Anak kepada Saidina Abu Bakar yang telah ditugaskan untuk membawa makanan ke Gua Thur.Asma' sebagai seorang perempuan dengan berani dan penuh kekuatan telah berulang alik dari Mekah untuk memanjat Bukit Thur. Ini menunjukkan bahawa peranan wanita juga penting dalam usaha-usaha menegakkan agama Islam.

e) Amir bin Fuhairah - bekas hamba kepada Abu Bakar ra. Beliau diberi tugasan supaya membawa kambing-kambing peliharaannya ke padang pasir pada waktu siang bagi menghilangkan jejak kaki Abdullah dan Asma’ dan pada waktu petang membawa kambing ke gua Thur untuk diperah susunya.

4. Mekanisme dan alat yang sesuai dengan zaman dan tujuan - Rasulullah telah menggunakan unta-unta sebagai tunggangan, kambing-kambing untuk menghilangkan jejak dan mendapatkan bekalan susu, sumber manusia yang pelbagai, dan lain-lain. Ini bermakna pada zaman ini kita perlu bijak menggunakan apa sahaja alat yang sesuai untuk tujuan kebaikan. Kita perlukan kenderaan, gajet-gajet, teknologi untuk memudahkan gerak kerja kita. Islam tidak menolak kemajuan asalkan ia digunakan ke arah yang bermanfaat.

5. Rasulullah telah memulangkan barangan yang telah diamanahkan kepada baginda ketika di Mekah kepada tuan punya barangan tersebut. Ini menunjukkan sikap amanah yang tinggi di dalam Rasulullah saw. Ia menunjukkan bahawa walaupun Rasullah berhijrah untuk menegakkan Islam, ia bukan bermakna Rasulullah saw boleh lari dari amanah yang lain.

Maka, daripada peristiwa Hijrah Rasulullah saw, kita perlu melihat peristiwa itu bukan hanya sebagai sebuah catatan sejarah. Tetapi yang paling utama ia perlu dilihat daripada perspektif bagaimana ia harus dipraktikan dalam kehidupan kita sekarang dan akan datang. Barulah kita boleh melihat peristiwa Hijrah itu sebagai suatu pengajaran yang berharga dan sentiasa segar walaupun ia telah berlaku lebih 1400 tahun dahulu.
Moga bermanfaat.

2 comments:

  1. bersama kita mengambil ikhtibar dari kisah peristiwa hijrah.. salam maal hijrah.. ;)

    ReplyDelete