Pages - Menu

Jun 16, 2015

10 sunnah yang perlu di hidupkan sepanjang Ramadhan

Lagi 2 hari menjelang Ramadhan..Subhanallah..Bulan penuh barakah..Allah lebarkan pintu-pintu keampunan,pintu-pintu rahmat,pintu-pintu syurga dan pintu-pintu kebaikan seluas-luasnya di bulan ini..Peluang dah ada hanya kita perlu memanfaatkan ia sebaik-baiknya selama 30 hari sahaja.





Sedikit 'refreshment' untuk kita semua hidupkan kembali sunnah-sunnah sepanjang Ramadhan dan semoga kita mendapat pahala mengerjakannya.


1) Mengucapkan tahniah kerana berjaya sampai ke bulan Ramadhan

Rasulullah pernah berucap ketika memberikan khabar gembira kepada para sahabat baginda:

 “Telah datang kepada kamu Ramadhan, bulan yang penuh berkat. Allah telah mewajibkan kalian berpuasa padanya. Dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu alJahim (neraka), diikat para syaitan pada bulan Ramadhan. Padanya juga terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan, sesiapa yang dimuliakan dengan kebaikannya, maka ia telah dimuliakan.”

(HR Ahmad di dalam Musnad Imam Ahmad, bilangan: 8991) Syeikh Syuaib al-Arnaouth menyatakan bahawa hadis ini sahih. Ibnu Rejab al-Hanbali berkata: Sebahagian ulama berpendapat, hadis ini adalah asal usul bagi amalan ucapan tahniah antara satu sama lain pada bulan Ramadhan.

Orang Arab, apabila tiba bulan Ramadhan mereka sering mengucapkan: Barakallah, Ramadhan al-Mubarak, Kullu Am wa antum bi khair, dan sebagainya. Maka kita ucapkanlah ucapan-ucapan yang mengembirakan kita apabila datangnya bulan Ramadhan. Ucapan yang 


2) Menyegerakan berbuka

 Ibadah ini dilakukan sejurus setelah diyakini tenggelamnya matahari. Jangan bertangguh-tangguh atau melambatkannya. Apabila ada makanan dihidangkan, maka berdoa yang pendek-pendek (sebaik-baik doa makan adalah Bismillah.) kemudian teruslah makan.

 Ini sunnah! Imam al-Bukhari dengan sanadnya meriwayatkan daripada Sahl bin Sa`id bahawa Nabi SAW pernah berkata:

Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagi mana mereka terus menyegerakan berbuka”. (HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 1957) 


3) Berbuka dengan beberapa biji kurma basah

Kurma mempunyai pelbagai kategori. Kurma basah disebut rutob, kurma kering disebut tamar, manakala kurma asli disebut balah. Yang paling afdhal ialah berbuka dengan buah kurma yang basah

Nabi saw berbuka sebelum solat (Maghrib) dengan beberapa biji kurma basah. Sekiranya tidak ada kurma basah, maka baginda berbuka dengan tamar kering. Sekiranya tidak ada juga, maka Baginda menghirup beberapa teguk air.” (HT at-Tirmizi di dalam Sunan at-Tirmizi, bilangan: 696)


4) Melambatkan waktu Sahur



Imam an-Nawawi di dalam kitab al-Majmu` menyatakan: Waktu sahur ialah waktu di antara pertengahan malam sehingga terbit fajar.

 Di dalam Hasyihah ad-DusukMasuknya waktu sahur apabila telah sampai pertengahan akhir daripada waktu malam. Melambatkannya adalah lebih baik. Telah jelas daripada Nabi SAW bahawa baginda melambatkan sahur sehingga waktunya dan waktu Subuh hanya berjarak bacaan 50 ayat alQuran. 

Justeru itu, difahami daripada apa yang kami sebutkan bahawa makan sebelum sampai pertengahan malam tidaklah dikira sebagai sahur. 

Berhenti makan dan minum ketika fajar hampir terbit. Waktu yang terbaik ialah memulakan sahur pada 30-10 minit sebelum masuk waktu subuh dengan perkiraan bacaan 50 ayat al-Quran. 


5) Memperbanyakkan amalan kebaikan

Memperbanyakkan amalan kebaikan adalah dituntut pada bulan Ramadhan. Apatah lagi ia adalah bulan yang dinilai pahalanya oileh Allah sendiri. Satu perkara yang perlu diberi perhatian besar di dalam bulan Ramadan ialah peluang untuk mendapat pahala berganda.

 Imam al-Bukhari dengan sanadnya daripada Abu Hurairah menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah menyebutkan hadis Qudsi : 

 “Setiap amalan anak Adam adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk aku (Allah) dan akulah yang langsung membalasnya. Perubahan bau bagi orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah berbanding wauan kasturi.” (HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 5927)


6) Berkata Aku Berpuasa apabila berlaku perselisihan 


Imam al-Bukhari dengan sanadnya meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Puasa adalah pelindung. Maka janganlah kamu mencarut dan melakukan perkara bodoh. Sekiranya diajak bergaduh, maka katalah:

 ‘Sesungguhnya aku sedang berpuasa.’ Sebanyak dua kali. (HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 1894)


7) Menyediakan makanan kepada yang berbuka puasa

Amalan memberi makan kepada orang lain untuk berbuka puasa sangat subur di tanah-tanah arab. Sebahagian mereka mengumpulkan para pelajar di rumah mereka atas tujuan tersebut selama 30 hari berturut-turut. Sekiranya tidak mampu memberikan mereka makan, dia hendaklah memberikan buah kurma ataupun minuman untuk mereka berbuka. Itulah yang disebutkan di dalam mazhab asySyafii. 

Imam at-Tirmizi dengan sanadnya meriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

 "Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka untuk orang yang berpuasa, maka dia mendapat ganjaran sepertinya (orang berpuasa) tanpa dikurangkan ganjaran orang yang berpuasa itu sedikitpun”. 

(HR At-Tirmizi di dalam Sunan at-Tirmizi, bilangan: 807) Imam at-Tirmizi berkata: Hadis ini Hasan Sahih. 


8) Berdoa sewaktu berbuka 



Doa orang yang berpuasa sangat mustajab. Mari kita ambil kesempatan itu untuk banyak berdoa dengan hati yang ikhlas, mengikuti sunnah Rasulullah saw, dan berkeyakinan bahawa doa kita akan dikabulkan oleh Allah. Imam Ibnu Hibban dengan sanadnya meriwayatkan hadis yang panjang daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda:

Tiga doa yang tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa ketika mahu berbuka, dan doa orang yang dizalimi. (HR Ibnu Hibban di dalam Sahih Ibnu Hibban, bilangan: 7387) Syeikh Syuaib al-Armaout menyatakan Hadis ini Sahih dengan syawahid. 

Antara doa yang baik untuk dibaca ialah: 

 “Ya, Allah ! Aku berpuasa untuk Mu, dengan rezeki Mu aku berbuka, telah hilanglah kehausan, telah basahlah kerongkong dan telah pastilah ganjarannya Insya Allah”.


9) Meninggalkan kata-kata keji dan dusta 

Kata-kata yang mesti dijauhi seperti mencela, menipu, mengumpat dan menghasut hendaklah dihentikan pada bulan Ramadhan. Ia menjadi permulaan pendidikan jiwa dan sosial yang baik untuk menghadapi bulan-bulan berikutnya. 

Seseorang yang berpuasa juga hendaklah menahan dirinya daripada perkara-perkara syahwat seperti melihat wanita dan mendengar lagu-lagu dan novel-novel yang melalaikan. Terutama adalah lagu-lagu yang bercanggah dan novel yang tidak memberi faedah.

 Imam al-Bukhari dengan sanadnya meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal denganya maka Allah tidak memerlukannya untuk meninggalkan makan dan minumnya.” (HR al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, bilangan: 1903) 


10) Memperbanyakkan Solat Sunat dan Bangun Qiam di Tengah Malam

Carilah masa di celah-celah kesibukan hari untuk banyakkan solat sunat seperti solat sunat taubat,solat tahajud,solat dhuha dan pelbagai lagi.

Isikan masa juga dengan memperbanyakkan bacaan ayat-ayat alquran supaya tidak terbuang masa begitu sahaja.




Sebenarnya banyak lagi perkara sunnah yang kita boleh lakukan sepanjang Ramadhan. Buatlah sebanyak-banyak kebaikan Insyaallah puasa kita terlaksana dengan baik dan lancar.

Semoga Ramadhan kali ini kita buat sehabis baik dan hidupkan kembali sunah-sunah yang di tuntut mudah-mudahan Allah berikan ganjaran berlipat ganda dengan segala kebaikan yang dilakukan.

Insyaallah..


Credit :Ust Syihabudin Ahmad
(Graduan Kuliah Syariah Universiti Al-Azhar)

No comments:

Post a Comment